Friday, November 27, 2009

UCAPAN SELAMAT


SELAMAT
HARI RAYA
AIDIL ADHA

SEMOGA DIRAHMATI ALLAH SENTIASA



Kak G sekeluarga ucapkan selamat untuk semua yang berkunjung ke blog Kak G ini. Insya Allah akan terbina silaturrahim yang baik. Mohon maaf di atas segala silap dan salah. Jika ada yang rasa tersinggung, jangan disimpan di hati ya.

Tahun ni Kak G menyambutnya ala kadar saja. Rasanya akan cukup meriah dengan berjumpa sanak saudara, sahabat handai dan kawan-kawan lama di majlis-majlis kenduri. Yalah, dah banyak sangat undangan kenduri kahwin dan kenduri doa selamat yang Kak G sekeluarga terima, kira mulai besok membawa sampai ke tahun baru ni. Jadi buat budget untuk buah tangan je le.

Thursday, November 26, 2009

MENJAGA KESIHATAN DAN KEJELITAAN


Sempena hari baik dan bulan baik ni, Kak G nak jariahkan ilmu tentang kecantikan dan kejelitaan. Hari ini Kak G nak berkongsi tentang cara-cara untuk menjaga kesihatan dan kejelitaan yang Kak G warisi dari Allahyarhumah nenekda sejak kecil dulu. Hasilnya terbukti, cuma Kak G je yang mengamalkan mengikut 'mood' sendiri. Tapi bagus juga, kalau tak kut terlebih lawa dan muda pulak kan! :)

Pertamanya ialah kita perlu melakukannya secara rohaniah. Bagi setiap orang Muslim dan Muslimah, berastaghfar, berselawat nabi dan berdoalah untuk yang baik dengan sebanyak yang termampu sepanjang masa; sementara yang bukan Islam, anda dipinta untuk cuba bersifat murni dan tulus.

Kemudian barulah amalkan petua di bawah ini:
  1. Sekurang-kurangnya setiap 1 - 3 bulan sekali, minumlah segelas air hempedu bumi.
  2. Setiap 1 - 3 bulan sekali minumlah air Tongkat Ali bagi lelaki dan air Kacip Fatimah bagi perempuan. Baik jika dicampur dengan sedikit madu.
  3. Cuba amal minum air campuran kunyit sekali seminggu (khusus untuk wanita).
  4. Cuba amal membersihkan bahagian sulit dengan air campuran buah majakani sekerap yang boleh (khusus untuk wanita).
  5. Cuba amal merawat wajah dengan setia.

Senang saja kan. Tetapi hakikatnya tidak mudah untuk seseorang itu untuk melakukannya. Walaubagaimanapun, jika berjaya dijadikan amalan, khasiatnya dan hasilnya akan dirasai sendiri. Cuba jugalah ya.

Rasanya elok Kak G bagi formula merawat wajah dulu kerana biasanya kita nak nampak cantik kan? Kalau anda dah sentiasa merawat wajah dengan baik, teruskan saja. Tapi jika agak malas tu, bolehlah ikut petua Kak G ni. Tapi pertama sekali, mesti ingat untuk mulakan setiap amalan ini dengan bacaan Bismillah dan selawat nabi.

Formula Merawat Wajah (Lelaki dan Perempuan)

Ambil 1 biji telur putih, 1 sudu madu, 1/2 sudu kecil minyak zaitun dan setitik dua air limau. Sebatikan semua ramuan dan biarkan selama sekurang-kurangnya 1 jam. Jika ada ginseng tanaman sendiri, ambil sedikit akarnya dan ditumbuk halus, atau boleh juga gunakan 1 tablet ginseng yang sudah dihancurkan. Campurkan ke dalam adunan dan gaul sebati untuk menjadi pes pekat. Bersihkan dulu muka. Sapu dengan pes hingga menutupi muka kecuali bahagian mata. Sapukan juga ke bahagian leher dan tangan. Biar kering selama 15 - 20 minit. Lembabkan tuala kecil bersih dengan air panas. Tutupkan seluruh muka dengan tuala panas ini untuk beberapa minit. Kemudian perlahan-lahan gosokkan ikut gerak bulatan kecil membawa ke atas dan luar muka. Buat begitu ke seluruh bahagian yang disapu dengan pes tadi sambil berselawat. Gosokkan juga dibahagian leher dan tangan. Bilas dengan air suam-suam kuku hingga bersih. Lakukan seminggu sekali.

Sekurang-kurangnya, 2 -3 kali setahun gunakan pes ubi kentang, beras dan sedikit madu (anggaran 1 -2 ubi kentang, 1 sudu kecil beras dan 1 sudu madu). Pakai seperti masker, biar kering dan bersihkan dengan air suam kuku juga.

Untuk bahagian mata pula, gunakan 2 - 3 helai daun jambu yang ditumbuk halus, 1 sudu kecil madu dan sedikit minyak zaitun. Bilas dengan menggunankan hujung jari perlahan-lahan dari hujung mata menuju ke dalam ke kelopak mata arah sehala mengelilingi bahagian mata keluar ke gigi rambut. Ulang urut beberapa kali dengan cara yang sama.

Formula Menjaga Kesihatan Dan Awet Muda

Kak G berikan pula formula air hempedu bumi, air tongkat ali, air kacip fatimah, air campuran kunyit dan air campuran buah majakani di bawah ini.

Air Hempedu Bumi

Ambil 3, 6 atau 9 helai daun muda hempedu bumi. Basuh bersih dan tus kering. Letakkan di dalam gelas. Tuangkan air mendidih yang benar-benar panas sehingga daun tenggelam sepenuhnya. Biarkan seminit dua. Buangkan semua air. Isikan semula dengan air panas baru dan biar berendam hingga airnya menjadi hijau. Minum ketika masih suam. (Rasanya pahit bagai hempedu. Bagi yang tidak kenal daun hempedu bumi ini, sila lihat posting Kak G bertajuk 'Pahit Itu Ubat' pada bulan Oktober dulu).

Air Campuran Kunyit

Ambil 1 ketul kunyit hidup, 1 -2 ketul cekur muda dan beberapa hirisan halia. Cuci sehingga betul-betul bersih. Bilas dengan air garam dan tuskan. Blend dengan sedikit air bersih dan suci, secubit garam dan 1 sudu teh madu hingga halus menjadikan 1 gelas. Jika ada suka boleh campurkan juga telur ayam kampung segar.

Kunyit dan Cekur Segar

Air Tongkat Ali & Kacip Fatimah Asli

Ambil 2 - 3 genggam akar tongkat ali atau kacip fatimah (boleh dibeli di kedai ubat tradisional). Basuh bersih-bersih. Masak dalam periuk dengan air yang banyak. Masak hingga air hampir kering. Isikan air hingga hampir penuh periuk dan rebus lagi hingga airnya tinggal sekurang-kurangnya separuh. Sejukkan. Tapis. Minum satu gelas sahaja dan habiskan air ini dalam masa seminggu itu. Airnya boleh disimpan di dalam peti ais, atau panaskan semula sebelum minum. Seperti Kak G katakan, air ini boleh diminum dengan madu kira-kira 1 - 2 sudu kecil.

Air Campuran Buah Majakani

Ambil 3 - 5 batang serai (jika dapat gunakan serai wangi), seketul kunyit hidup, 2 - 3 genggam buah majakani, 2 -3 genggam daun inai, dan beberapa helai daun pandan serta daun serai wangi juga. Basuh semuanya bersih-bersih. Rebus semuanya dalam periuk yang agak besar bersama dengan sedikit lada hitam dan garam serta air secukupnya (= 3/4 paras periuk). Sebaiknya rebus dalam periuk tanah. Rebus dengan api perlahan selama beberapa jam. Bila airnya berkurangan, tambahkan lagi. Seelok-eloknya gunakan ketika airnya suam-suam kuku di waktu pagi ketika pertama kali membuang air. Air sebanyak ini untuk kegunaan sehari sekali untuk seminggu, atau boleh juga berendam di dalam air ini sepenuhnya selama 15 - 30 minit sehari atau seminggu sekali.

Serai Wangi

Daun Inai

Pokok Kacip Fatimah

Pokok Tongkat Ali

Tuesday, November 24, 2009

RESIPI KARIPAP PUSING

OK, barulah Kak G boleh mengadap laptop. Walaupun dah agak letih juga, tapi rasanya bolehlah bertahan untuk beri resipi buat karipap pusing tu.

Kak G dah 'perfect'kan dua versi, satu yang rangup dan satu lagi yang sedang-sedang rangup. Versi rangup kurang sesuai untuk jamuan ramai kerana tetamu makan di merata-rata tempat, jadi merata jugalah bertaburan serpihannya. :)

Biasanya Kak G buatkan intinya sehari terdahulu. Dohnya pun boleh disediakan sebelum hari nak buat karipap tu. Ni masak gaya santai Kak G la. Sambil kita memasak masakan pada sesuatu hari tu, kita bolehlah buat intinya atau buatkan dohnya dulu. Yalah kan, kekadang hari kerja tu, walaupun kita masuk dapur, tapi biasanya kita nak cepat-cepat selesai.

KARIPAP PUSING

Bahan-bahannya:

Untuk Inti:

  1. 1 mangkuk daging yang sudah didadu kecil
  2. 2 mangkuk kentang yang didadu kecil
  3. 1/2 mangkuk karot yang didadu kecil
  4. 2 - 3 sudu sedang serbuk kari (ikut selera sendiri)
  5. 1 - 2 sudu kecil serbuk kurma ( - sama - )
  6. 1/2 sudu lada hitam - ditumbuk halus
  7. 1 batang serai - potong dua dan ketuk
  8. 3 labu bawang besar sedang - 2 labu didadu kecil
  9. 1/2 mangkuk campuran daun bawang dan daun sup
  10. 5 ulas bawang merah
  11. 3 ulas bawang putih
  12. 3 hiris halia muda
  13. garam secukup rasa
  14. 1 cawan air
  15. minyak untuk menumis

Untuk kulitnya:

  1. 600 gm tepung gandum
  2. 125 gm mentega sejuk
  3. 60 gm lemak sayur
  4. 1 biji telur
  5. air yang disejukkan (air ais) secukupnya
  6. air sejuk biasa secukupnya
  7. 1/2 sudu kecil air jus limau
  8. garam secukup rasa
  9. minyak untuk menggoreng karipap

Cara-caranya:

Untuk intinya:

  1. Blend 1 labu bawang besar, 3 ulas bawang merah, 1 ulas bawang putih, halia dan rempah kari serta kurma biar halus.
  2. Panaskan minyak. Tumis hirisan bawang merah dan bawang putih yang selebihnya dan serai.
  3. Bila kekuningan dan naik bau, masukkan campuran rempah yang diblend tadi dan lada tumbuk. Masak hingga pecah minyak.
  4. Masukkan daging. Kacau rata dan biar pecah minyak kembali. Masukkan air dan masak hingga air itu hampir kering.
  5. Masukkan kentang dan karot. Masak sekejap.
  6. Masukkan semua bahan-bahan lain dan sesuaikan rasanya. Buangkan serai. Angkat dan sejukkan.

Untuk kulitnya:

  1. Ayak tepung dua kali.
  2. Perlahan-lahan gaulkan mentega sejuk, lemak sayur dan secubit garam ke dalam 250 gm tepung dengan menggunakan hujung jari saja. Hati -hati, jangan terlebih gaul.
  3. Campurkan kira-kira 1/2 cawan air ais dengan jus limau.
  4. Masukkan campuran air ais ini ke dalam adunan tepung. Cepat-cepat gaul untuk menjadikan doh. Jika melekat dijari, campurkan setitik dua air ais lagi. Jangan di uli lama. Bentukkan menjadi 6 - 8 bola bulat kecil yang kemas.
  5. Ambil tepung yang selebihnya. Buat lubang di tengah, taruhkan sedikit garam, telur dan 1/2 cawan air dan kacau rata. Kuarkan tepung perlahan-lahan ke dalam bahan di tengah lubang. Gaul sebati dan jadikan doh. Jika melekat di tangan, tambahkan sedikit air. Ulikan sekejap biar lekang licin dari bekas dan jadi agak lembut. Bahagikan menjadi 6 - 8 bola kecil juga.
  6. Leperkan adunan bercampur telur. Masukkan bola adunan bercampur mentega di tengah. Cantumkan kembali menjadi bola bulat yang lebih besar. Pastikan bola berbentuk bulat, padat dan kemas. Ulang hingga habis semuanya. Biarkan doh rehat sekejap.
  7. Canaikan satu bahagian atau bola bulat doh itu hingga nipis memanjang atau bulat.
  8. Jika canai memanjang, gulung kemas dari satu hujung ke satu hujung lagi. Ulang canai sekurang-kurangnya sekali lagi cara memanjang dan ulang gulung juga. Pastikan gulungan kemas. Potong anggaran 1/4 inci tebal. Leperkan dan isikan intinya. Cantum dan kelim.
  9. Jika canai bulat, potong dari di tengah hingga ke satu tempat garisan luar bulatan. Gulung mengikut arah bulatan hingga habis yang menjadikan ia berbentuk panjang. Pastikan golongan itu kemas. Canai memanjang sekurang-kurangnya sekali. Potong anggaran 1/4 inci lebar. Leperkan dan isikan intinya. Catum dan kelim.
  10. Goreng dengan minyak yang banyak dan api sederhana sehingga masak kekuningan.

Jika ada kelapangan cubalah. Dijamin sedap. Inti dan dohnya boleh simpan seminggu dalam peti ais. Tapi jika dah buat karipapnya, boleh simpan dalam 'chiller' untuk tempuh yang lebih lama.